KUCHING: Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Dato’ Sri Mohd Yusri Hassan Basri, hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri, Petra Jaya di sini.
Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada program lawatan kerja rasmi Mohd. Yusri ke negeri ini dan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama erat di antara JSPT Bukit Aman dengan Kerajaan Sarawak.
Dalam pertemuan tersebut, Mohd Yusri menzahirkan ucapan tahniah kepada Tun Wan Junaidi atas pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kelapan.
Selain itu, beliau turut menyatakan penghargaan atas sumbangan sebanyak 10 motosikal berkuasa tinggi kepada JSPT Sarawak, sebagai tanda keprihatinan dan komitmen Kerajaan Sarawak.
Perancangan JSPT Bukit Aman dalam memperkasa siasatan dan penguatkuasaan turut dibincangkan, selaras dengan usaha meningkatkan kecekapan operasi trafik dan keselamatan jalan raya di Sarawak.
Hadir sama Ketua Urus Setia JSPT Bukit Aman, ACP Rahmat Ariffin, Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Am JSPT Bukit Aman, SUPT. Azhar Abu Bakar, Ketua Penolong Pengarah Kawalan Lalu Lintas JSPT Bukit Aman SUPT. Mohd Yatim Osman dan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Saman JSPT Bukit Aman SUPT. Abdul Aziz Abdul Rahman.
