Fasa kedua Pembangunan Darul Hana sedang dilaksana

KUCHING: Fasa kedua Pembangunan Darul Hana sedang dilaksanakan bagi memindahkan keluarga tambahan di perkampungan Seberang Hilir di sini dan dijangka siap pada 2026.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembangunan itu membabitkan pembinaan kawasan penempatan Sungai Bedaun di sini.

“Jangkaan siap mungkin 2026,” katanya selepas Majlis Iftar Darul Hana 2024 bersama Yang Amat Berhormat Premier Sarawak anjuran Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di sini, malam ini.

Abang Johari berkata setelah siap, penempatan di Sungai Bedaun, ia akan mampu memindahkan sekitar seramai 200 keluarga tambahan dari perkampungan Seberang Hilir.

Katanya, pihaknya juga akan mengenalpasti satu lagi kawasan berdekatan bagi Pembangunan Darul Hana tetapi tidak mendedahkan butirannya.

Sementara itu, LCDA menyumbangkan sebanyak RM1,910,187.26 Zakat Perniagaan bagi 2023 kepada Tabung Baitulmal Sarawak yang diserahkan kepada Timbalan Pengurus Besar TBS Bolhassan Iskandar Taibi.

Premier Sarawak dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut menyampaikan sumbangan Hari Raya sebanyak RM19,500.00 kepada 130 penerima terdiri daripada anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU) dari 13 kampung dalam kawasan projek Darul Hana.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) merangkap ADUN N4 Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Pemangku Pengurus Besar LCDA Kusyairi Bostani.