GPS mahu keputusan PRU lalu diterima hingga tamat tempoh

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memegang jawatannya sehingga selesai tempohnya.

“Kalau Anwar (sebagai) Perdana Menteri dah sana, biarkanlah sampai habis (tempohnya),” menurut Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak di sini malam tadi.

Abang Johari berkata, ketentuan siapa menjadi kerajaan juga mengikut demokrasi apabila pilihan raya diadakan.

Sehubungan itu, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) itu juga perlu diterima sehingga tamat tempohnya.

“Kalau tengah jalan tebuk atap, ada yang tebuk jendela nanti, ada yang tebuk lantai pula, jadi tak menentu, yang menjadi mangsa adalah rakyat jelata,” katanya.

Katanya, bagi GPS, pada pilihan raya negeri (PRN) lalu rakyat Sarawak telah memberi keyakinan kepada gabungan itu sehingga memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

“Bagi kami ini adalah amanah, sebab itu kami bekerja keras untuk menunaikan ( janji),” katanya.

Abang Johari berkata, malah GPS memberikan perkara yang tidak dijanjikan pada pilihan raya lalu seperti pendidikan percuma kepada rakyat Sarawak.