DUN Satok sediakan pusat pemindahan banjir, peristiwa 2004 jadi iktibar

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok sentiasa siapsiaga untuk menghadapi bencana banjir susulan Monsun Timur Laut.

ADUN Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, persediaan rapi banjir mengambil kira pengalaman banjir besar melanda Kuching 2004.

“Ia termasuk persiapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS); bot dan alat pembesar suara; jaket keselamatan, kerjasama dan sebagainya sekiranya berlaku musibah banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kesiapsiagaan Bencana Banjir Kawasan DUN Satok di Dewan Haji Kamarudin Kampung Segedup, di sini hari ini.

Pada masa sama kata Ibrahim, Pusat Khidmat DUN Satok juga mempunyai sokongan diperlukan seperti ambulans, perubatan termasuk memasak bekalan makanan kepada penduduk terjejas.

“Lima bot turut disediakan untuk Kampung Kudei Lama, Kampung Kudei Baru B, Kampung Sungai Maong dan Kampung Segedup bagi memudahkan pergerakan sewaktu banjir.

“Malah, Kerajaan Sarawak ketika ini sedang menjalankan pelbagai projek saliran dan perparitan dan, projek mitigasi banjir Kuching fasa dua kini sedang dilaksanakan,” katanya.