Pasar Malam Metrocity pertama tanpa tunai di Sarawak

KUCHING: Pelancaran Kempen e-duit dan Tanpa Tunai Pasar Malam Belia N6 Metro City, di sini selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak memperkasakan ekonomi digital.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, setakat ini sebanyak 85 peratus peniaga di pasar malam itu sudah menggunakan transaksi pembayaran tanpa tunai.

Ia merupakan usaha sama di antara Payments Network Malaysia (PayNet) dan Persatuan Penjaja Petra Jaya (PPPJ) dan mendapat sokongan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Pelaksanaan program di pasar malam ini merupakan yang pertama di Sarawak dan sudah beroperasi selama lapan tahun.

“Dengan adanya program ini, kita dapat menggalakkan rakyat menggunakan digital dan sebahagian dari ekonomi digital itu akan memudahkan peniaga dan juga pengunjung.

“Ia diharapkan dapat mengurangkan kes kecurian atau kehilangan duit dan sebagainya apabila kita menggunakan transaksi tanpa tunai,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan program tersebut.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazruddin Abdul Rahman, Ketua Pejabat BNM Kuching, Mohd Irman Mohd Din dan Ketua Pegawai Komersial PayNet, Gary Yeoh.

GAMBAR: JAPEN