BINTULU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited memupuk persefahaman dan keharmonian masyarakat pelbagai budaya dan agama di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, GPS di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga memastikan keharmonian agama berkembang di Sarawak.
“Premier menggesa kerjasama
rakyat Sarawak termasuk ketua-ketua agama untuk bekerjasama dalam memastikan keterangkuman sosial dan keharmonian agama berkembang maju,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain sempena sambutan Hari Sarawak 2024 di Dewan Suarah Bintulu, di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, Sarawak adalah satu-satunya wilayah di Malaysia yang mengadakan upacara kesyukuran antara agama setiap tahun.
Katanya, ini mencerminkan bukan sahaja warisan budaya yang tersendiri dan harmoni tetapi juga berfungsi sebagai peringatan bahawa cara hidup yang aman harus dipupuk dan diteruskan kerajaan.
