KABONG: Jabatan Perikanan Laut Sarawak melabuhkan sebanyak 17 unit tukun tiruan jenis Kuboid Juvenil penghalang pukat tunda di perairan laut Kabong, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, ini adalah inisiatif kerajaan melalui jabatan itu bagi mewujudkan tempat pembiakan dan pemulihan hasil laut di negeri ini.
“Saya percaya ia juga dapat membantu nelayan tradisi meningkatkan hasil tangkapan ikan, sekali gus menambah pendapatan ekonomi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan dan merasmikan pelancaran projek melabuh tukun itu di perairan laut Kabong, di sini, hari ini.
Chee Kadir berkata, bantuan dan peruntukan besar bagi tujuan projek ini, menunjukkan komitmen tinggi kerajaan bagi memastikan nelayan sentiasa terbela dan menjadikan Kabong lokasi tarikan pelancong khususnya peminat aktiviti memancing.
