TYT Sarawak hadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hadir Majlis Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Balairung Seri, Istana Negara.

Beliau diiringi isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Majlis Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini merupakan majlis pertabalan pertama Tun Pehin Sri hadir sejak dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lalu.

Turut hadir bersama beliau ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Istiadat gilang-gemilang yang mengangkat kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara itu bermula tepat jam 10.30 pagi sebaik Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat masuk ke Balairung Seri.

Istiadat yang dihadiri oleh Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri-negeri itu seterusnya berlangsung dalam suasana penuh adat dan tradisi.

Sultan Ibrahim, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, telah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-263 di Istana Negara pada 27 Oktober 2023 bagi tempoh lima tahun mulai 31 Januari 2024 untuk menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

FOTO: JABATAN PENERANGAN MALAYSIA