Graduan IKMAS perlu terlibat pembangunan Sarawak

KUCHING: Institut Kemahiran Islam Malaysia (IKMAS) harus membuka ruang untuk cabang-cabang ilmu yang lebih luas kepada graduannya.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana beliau melihat bahawa bukan semua graduan IKMAS akan mendapat pekerjaan di mahkamah syariah, masjid dan surau, majlis agama Islam, atau di agensi kerajaan sebagai ustaz atau ustazah yang membimbing hal ehwal agama.

“Oleh itu, IKMAS seharusnya membuka ruang untuk cabang-cabang ilmu yang lebih luas walaupun hanya di peringkat sijil sebagai permulaan,”katanya.

Beliau berkata demikian sempena Istiadat Konvokesyen IKMAS kali ke-21, di sini, hari ini.

Tun Dr Wan Junaidi berkata, graduan IKMAS juga perlu terlibat secara langsung dan harus menyumbang terus dalam pembangunan negeri.

Katanya, IKMAS juga perlu memajukan negeri ini dengan semangat kolaboratif bersama institusi seperti UTS, UNIMAS, ICATS, Curtin dan Swinburne agar graduan IKMAS juga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan graduan institusi lain.

Beliau berkata, melihat pada realiti masakini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengetengahkan hala tuju Sarawak kepada industri-industri baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, methanol, solar, algay, ekonomi digital dan sebagainya.

“Semua inisiatif ini bukan sahaja mencipta pekerjaan baharu malah membuka ruang kepada generasi muda Sarawak, termasuk graduan IKMAS, untuk turut serta dalam pembangunan teknologi masa depan,” tambahnya.