KUANTAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Santapan Malam yang diadakan di Meranti Ballroom, Hyatt Regency Resort, sempena lawatan rasmi ke Negeri Pahang Darul Makmur.
Majlis ini turut diserikan dengan keberangkatan Ke Bawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, bersama isteri, Datin Sri Diraja Burhah Mohamad serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan ketua-ketua jabatan.
Sebagai simbolik keindahan warisan negeri, majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh artis Budaya Kesenian Negeri Pahang.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan menjunjung kasih serta merakamkan penghargaan kepada Ke Bawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang atas layanan penuh hormat dan penganjuran majlis yang gilang-gemilang ini.
Lawatan rasmi ini diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan erat antara Negeri Sarawak dan Negeri Pahang, selain membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik demi manfaat bersama.
Foto: Astana Negeri Sarawak
