KUCHING: Enam calon akan bertanding merebut empat jawatan Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi sayap Bumiputera pada Perhimpunan Agung Ke-16 parti mulai 14 hingga 16 Februari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti PBB, Dato Awang Bemee Awang Ali Basah berkata, calon Naib Yang di-Pertua (Bumiputera) ialah:
Datuk Len Talif Salleh- calon no.1
Dato Ibrahim Baki – calon no.2
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah – no.3
Datuk Dr. Annuar Ra’paee – no.4
Dato Sri Julaihi Narawi -no.5
Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi – no.6
Manakala tiga jawatan Naib Yang di-Pertua bagi sayap Pesaka tanpa bertanding.
“Mereka ialah Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Datuk Gerawat Gala dan Dato Gerald Rentap Jabu,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai calon yang bertanding bagi jawatan Naib Yang di-Pertua dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB di Ibu Pejabat Parti, Jalan Bako di sini, hari ini.
Awang Bemee yang juga Penasihat Undang-undang PBB berkata, seramai 19 calon akan bertanding bagi sayap Pesaka untuk mengisi 14 jawatan Ahli MT.
Manakala, bagi sayap Bumiputera seramai 20 calon akan bertanding bagi mengisi 16 jawatan, katanya.
Beliau berkata, semua calon yang layak bertanding bagi jawatan Naib Yang di-Pertua dan Ahli MT itu mendapat percalonan daripada cawangan-cawangan parti.
Pertandingan bagi kedua-dua jawatan berkenaan membuktikan demokrasi dalam Parti PBB masih wujud, mematuhi perlembagaan dan menunjukkan semangat kekeluargaan yang erat dalam parti.
Terdahulu beliau mengumumkan jawatan Yang di-Pertua, Timbalan-timbalan Yang di-Pertua dan Naib-naib Yang di-Pertua Kanan dimenangi tanpa bertanding.
“Ketiga-tiga jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan adalah usul daripada kesemua 82 cawangan parti PBB dari seluruh negeri,” katanya.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti, Datuk Amar Douglas Uggah hadir sama.
