Sarawak tubuh Institut Kepimpinan, platform lahir pemimpin berwibawa

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menubuhkan Institut Kepimpinan, sebuah institusi yang berperanan melahirkan pemimpin berwibawa, beretika dan berpandangan jauh dalam menghadapi cabaran abad ke-21.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi memastikan institut ini berfungsi secara efektif serta mempunyai sumber mencukupi, Kerajaan Sarawak akan menyediakan endowmen khas merangkumi kepakaran, rangkaian global dan infrastruktur sokongan.

Menurutnya, institut itu akan menjadi pusat transformasi kepimpinan bagi memastikan pemimpin masa depan bukan sahaja memiliki keupayaan intelektual, tetapi etika kepimpinan yang kukuh.

“Pembangunan kepimpinan tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ia memerlukan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memastikan kejayaannya.

“Hari ini menandakan satu langkah bersejarah dalam perjalanan tersebut, dan saya mengumumkan bahawa Institut Kepimpinan ini akan menjadi realiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Contemporary Leadership International Summit 2025 (CLIS2025) di sini hari ini.

Ujarnya, penubuhan Institut Kepimpinan ini dijangka meletakkan Sarawak di landasan kukuh dalam melahirkan barisan pemimpin masa depan yang bukan sahaja berkebolehan tetapi mampu memacu negeri ke arah kecemerlangan.

Langkah ini jelasnya akan menjadikan Sarawak sebagai perintis dalam pembangunan kepimpinan yang sistematik, progresif dan berdaya tahan.

“Kepimpinan hebat tidak lahir secara kebetulan, ia perlu dipupuk, dibentuk, dan diperkuat dengan ilmu serta prinsip yang betul.

“Oleh itu, kita tidak boleh membiarkan pembangunan pemimpin masa depan berlaku secara rawak. Ia mesti berasaskan sistem yang terancang, bersifat inklusif dan berpandangan jauh,” tambahnya.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancang Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Yayasan Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia Emeritus Profesor Dato’ Abang Abdullah Abang Ali.