Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 peringkat Zon Borneo dilancar

KUCHING: Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 peringkat Zon Borneo menekankan kepimpinan wanita dan peranan mereka sebagai pemimpin progresif dalam pelbagai bidang dilancarkan hari ini oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.

Berbeza sebelumnya, penganjuran kali ini diperluaskan ke lima lokasi mengikut zon antaranya Zon Borneo, Timur, Selatan, Tengah dan Utara, berbanding sebelum ini yang hanya berlangsung di satu lokasi utama.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) selaku penganjur bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad dan Universiti UCSI, selain rakan strategik sedia ada seperti Kelab Wanita Ikon Malaysia, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak serta Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah bagi menjayakan sambutan kali ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Nancy berkata, kepimpinan wanita menjadi fokus utama sambutan kali ini dengan penekanan kepada Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang dilancar 2024.

“Program ini bertujuan membimbing lebih ramai wanita muda untuk terlibat dalam kepimpinan melalui latihan dan pendedahan praktikal.

“Saya mahu melihat lebih ramai wanita Borneo menyertai PERANTIS. Kita perlu berani merealisasikan impian, mengembangkan potensi diri, dan membina masa depan yang lebih cerah untuk wanita di negara ini,” katanya.

Dengan penganjuran sambutan yang lebih inklusif ini, diharapkan lebih ramai wanita, khususnya di Borneo dapat mengambil bahagian dalam usaha memperkasa kepimpinan wanita dan memperkukuh peranan mereka dalam pembangunan negara.

Sementara, Nancy berkata kerajaan terus menggiatkan usaha bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali ke tenaga kerja, khususnya mereka yang berdepan cabaran dalam aspek penjagaan anak dan keluarga.

Dalam pada itu, kerajaan katanya turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi program PERANTIS 2025, yang bertujuan menggalakkan kepimpinan dan kreativiti dalam kalangan wanita, khususnya golongan muda.