Istilah ‘negeri’ DUN akan dibincang bersama Peguam Besar Sarawak

KUCHING: Istilah wilayah tidak dapat digunakan terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi menggantikan terminologi ‘negeri’.

“Kita juga tidak dapat menggunakan penggunaan wilayah… kalau tidak kita macam Wilayah Labuan dan Persekutuan,” menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian semasa mengunjungi rumah terbuka Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri di kediamannya, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, sehubungan itu pihaknya akan berunding dengan Peguam Besar Sarawak mengenai istilah yang terbaik untuk DUN Sarawak mengikut perlembagaan yang diguna pakai negara Komanwel.

Beliau menjelaskan, situasi tersebut serupa seperti penggunaan istilah ‘Premier’ Sarawak gunakan sekarang mengikut apa yang digunakan dalam negara Komanwel.

“Kita salah satu negara dalam Komanwel, ia tidak bercanggah,” tambahnya dan juga akan melihat maklum balas daripada awam bagi menyesuaikan terminologi mengikut perundangan yang dipakai.