KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) menyalurkan sebanyak RM64,495,350 kepada 54,321 penerima bantuan bulanan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata daripada jumlah itu, 6,970 merupakan penerima bantuan kanak-kanak.
Sementara itu, 20,635 merupakan penerima Bantuan Warga Emas, Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (3,448), Bantuan Penjagaan Orang Kelainan Upaya/ Pesakit Kronik Terlantar (2,426), Bantuan Oku Tidak Berupaya Bekerja (10,285), Bantuan Anak Pelihara (17) dan seorang penerima Bantuan Belia-Beliawanis.
Dalam pada itu, katanya setakat 31 Mac 2024, sebanyak 104,804 anak Sarawak telah memiliki akaun Dana Endowment Sarawak (EFS) dengan jumlah peruntukan RM104.8 juta.
”Selain itu, sejak 1 Januari 2020 sehingga 31 Mac 2024, sejumlah RM28.87 juta telah dibelanjakan bagi 64,158 ibu yang bersalin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Pitsa Bersama Komuniti di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Majlis dihadiri isteri Premier Sarawak yang juga Patron Utama PITSA, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
