SIBU: Dasar baharu Kerajaan Sarawak mempercepatkan pembaikan sekolah dan klinik rosak menggunakan dana negeri merupakan pendekatan berkesan bagi menangani segera isu sekolah dan klinik usang di negeri ini.
Dana negeri itu kemudian dibayar balik Kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi percaya melalui dasar baharu itu, isu sekolah dan klinik usang kritikal dapat ditangani secepat mungkin.
Tegasnya, isu sekolah dan klinik usang adalah keperluan mendesak khususnya pelajar di pedalaman seperti di Igan.
“Di Igan pada masa ini mempunyai kira-kira 18 sekolah usang, termasuk sebuah sekolah menengah dengan beberapa sekolah ini diperuntukkan untuk pembinaan semula atau pengubahsuaian.
“Saya pasti terdapat klinik usang di kawasan Batang Lassa dan Passin. Namun, saya telah membangkitkan isu ini di Parlimen agar Kementerian Kesihatan mengambil tindakan sewajarnya.
“Melalui kaedah ini, isu sekolah dan klinik usang dapat ditangani segera tanpa menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang kini menghadapi kekangan kewangan berikutan banyak projek lain yang diutamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Rumah Terbuka Aidilfitri Daerah Igan di Sibu malam tadi.
Ahmad Johnie menjelaskan, pihaknya telah menyuntik dana besar untuk meningkatkan aspek pendidikan di kawasan Igan melalui pembangunan infrastruktur, aktiviti kokurikulum sekolah dan sebagainya.
Katanya, pendidikan memerlukan perhatian khusus dalam pembangunan komuniti atau pelajar memandangkan Sarawak menyasarkan untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Justeru, apabila saya tidak lagi mewakili kawasan ini, inilah legasi yang ingin saya tinggalkan, bersama-sama membangunkan pendidikan di kawasan Parlimen Igan.
“Kejayaan masa depan anak-anak kita, sebahagian daripada komuniti kita adalah warisan yang kita tinggalkan bersama,” katanya.
Ahmad Johnie kemudian menyampaikan sumbangan sebanyak RM28,000 kepada Persatuan Anak Jati Kampung Igan (PAJKI) untuk aktiviti persatuan tersebut.
