Sarawak buka peluang kepada swasta dalam pembangunan sektor tenaga

KUCHING: Sarawak mampu mencapai sasaran membekalkan tenaga elektrik sebanyak 10,000 megawat (MW).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia dapat dicapai jika pihak swasta memainkan peranan penting dalam menukarkan loji janakuasa arang batu kepada biomas yang dilihat mampu meningkatkan kapasiti bekalan tenaga elektrik negeri ini.

“Oleh itu, kita membuka peluang kepada pihak swasta bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam pembangunan sektor tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis rumah terbuka anjurannya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Awang Tengah menjelaskan, Sarawak tidak tergesa-gesa menukarkan loji janakuasa arang batu Sarawak kepada biomas kerana perlu teliti.

Ini penting katanya, supaya tidak menjejaskan permintaan tenaga yang tinggi ketika ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menghadiri majlis tersebut.