KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM205 juta bagi membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, peruntukan melibatkan pelbagai projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Saya yakin kawasan DUN N.40 Kabong akan membangun secara berperingkat-peringkat melalui pelbagai inisiatif sedia ada dan baharu seperti projek di bawah BDDA,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis ramah tamah aidilfitri 2024 Persatuan Anak Kabong (PAK) di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Jalan Sultan Tengah Kuching, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Chee Kadir mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 yang akan disalurkan kepada Persatuan Anak Kabong bagi tujuan menjalankan aktiviti ibadah korban nanti.
Turut hadir ialah Pengerusi PAK, Semawi Mohamad, Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee, Pengurus Besar (GM) Borneo Development Corporation (Sarawak) Sdn Bhd, Nor E Fadzwie Salleh, Pengarah Strategik Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Prof. Gs. Dr Tarmiji Masron dan Pengurus Besar (GM) Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Hazwan Razak.
