KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Juanidi Tuanku Jaafar menggesa Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan secukupnya kepada Sarawak sejajar dengan kedudukan negeri ini sebagai sebuah wilayah dalam Malaysia.
Beliau berkata, Sarawak memerlukan peruntukan secukupnya daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek dan rancangan pembangunan.
“Kerajaan Persekutuan hendaklah komited membangunkan Sarawak terutama dalam bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan sempadan dan rangkaian jalan raya utama,” katanya semasa merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Hadir sama isteri beliau, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Sambil menyambut baik usaha Kerajaan Sarawak sendiri menyediakan kemudahan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat, Wan Junaidi menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana membenarkan Sarawak membina kemudahan itu terlebih dahulu dan membayar balik kepada Sarawak.
Melalui pendekatan itu, katanya, pembangunan kemudahan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di negeri ini boleh dipercepatkan.
Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memberi perhatian khusus kepada keselamatan sempadan dengan membina dan menaik taraf lebih banyak Pusat Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan pos kawalan sempadan di sepanjang sempadan Sarawak, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
Menurut beliau, fasiliti itu sangat penting bagi menjamin keselamatan negara dan mengawal pergerakan barangan dan orang yang menjalakan peniagaan rentas sempadan.
“Aspek lain yang memerlu sokongan dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan ialah pembinaan rangkaian jalan raya utama, projek tebatan banjir, mengawal hakisan sungai dan pantai serta kemudahan telekomunikasi, bekalan air dan bekalan elektrik,” katanya.
Mengembalikan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang terhakis adalah perkara yang sangat dekat di hati, katanya.
Beliau menggesa Kerajaan Sarawak supaya terus menuntut hak yang telah terhakis dikembalikan kepada negeri ini dan janji yang masih belum ditunaikan di bawah MA63 dilaksanakan segera sejajar dengan MA63, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
Yang di-Pertua Negeri turut menzahirkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim kerana telah menunuhkan Jawatankuasa Teknikal dan Majlis Tindakan Pelaksanaan sebagai platform membincangkan tuntutan Sarawak.
Beliau yakin dengan kerjasama rapat dan semangat setiakawan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, semua hak dan tunutan Sarawak di bawah MA63 akan menjadi kenyataan.
