Mekanisme akan dikenal pasti salurkan bantuan bersasar

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui agensi berkaitan termasuk agensi persekutuan di negeri akan mengenal pasti mekanisme penyaluran bantuan bersasar kepada penerima yang layak dalam kalangan rakyat Sarawak.

Timbalan Menteri Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Sarawak Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ini adalah utnuk memastikan tiada rakyat Sarawak yang layak tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.

“Kerajaan Sarawak akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai kaedah pelaksanaan penyaluran bantuan bersasar kepada penerima yang layak dalam kalangan rakyat Sarawak,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razali Gapor yang bertanya apakah perancangan dan strategi Kerajaan Sarawak untuk melaksana bantuan bersasar kepada rakyat Sarawak yang layak.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu memberitahu dewan, kementeriannya pada masa ini belum ada perancangan untuk membina stadium tertutup baharu, padang sistetik bola sepak dan padang hoki di Bahagian Mukah.

Menjawab soalan ADUN Tellian, Royston Valentine, beliau berkata, fasiliti sukan sedia ada di Mukah seperti stadium Mukah sedang dinaik taraf untuk SUKM XX1 Sarawak 2024 bagi acara bolasepak (lelaki).

“Ini meliputi penyelenggaraan dan penjagaan kualiti padang bola sepak dan prasarana asas,” katanya.

Gerald menegaskan, pada ini kementerian memberi tumpuan kepada fasiliti khusus untuk venue penganjuran SUKMA XX1 Sarawak 2024.

Namum, tambahnya, kementerian akan melaksanakan kerja menaik taraf dan penyelenggaraan dewan sukan tertutup Mukah dia bawah Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).