KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (GPS-Satok), Dato Ibrahim Baki yang menyokong penubuhan satu entiti Lembaga Pelabuhan Sarawak (LPS) mencadangkan supaya LPS itu dikenali sebagai Sport serupa dengan singkatan Sarawak Pay iaitu Spay Global.
Dengan Pelabuhan Bintulu di bawah naungan LPS, beliau yakin Sarawak boleh menerokai potensi pelabuhan itu sepenuhnya dan menyusun strategi untuk kepentingan ekonomi Sarawak.
“Pelabuhan Bintulu yang diurus cekap oleh Kerajaan Sarawak akan menjadikannya salah satu pelabuhan penting di Asia Tenggara dan sebagai penggerak ekonomi di wilayah ini,” katanya semasa membahas Rang Undang-undang Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN) di sini.
Menurut Ibrahim, Pelabuhan Bintulu bukan hanya untuk terminal LNG tetapi juga akan membantu membangun dan menyokong perkhidmatan bekalan loji methanol.
Beliau menegaskan, dengan transformasi rangkaian jalan raya di negeri ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi kerana mampu menyediakan pengangkutan darat untuk kargo, barangan dan sumber.
Rangkaian jalan raya yang cekap, katanya, akan membolehkan lebih banyak penghantaran bahan mentah melalui pelabuhan dan membangunkan industri tempatan seperti pertanian dan pengilangan untuk dieksport.
Dengan potensi sumber asli dan pulangan ekonomi, tambahnya, Sarawak harus berusaha meningkatkan lagi kesalinghubungan dengan Indonesia dan Brunei melalui rangkaian kereta api seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang dilaksanakan di negara lain di dunia.
Walaupun kos membinanya tinggi, faedahnya untuk masa hadapan tidak harus diketepikan dan kajian kemungkinan mengenainya hendaklah dijalankan, tegas beliau.
Sarawak, kata Ibrahim, memiliki banyak potensi dalam ekonomi baharu dan mengeksport banyak sumber dan menyokong pertumbuhan industri termasuk industri tenaga diperbaharui.
Dengan memiliki lembaga pelabuhan yang berpusat bagi mengurus semua pelabuhan di negeri ini, beliau berkata, ia akan menyatukan infrastruktur pelabuhan Sarawak dan memain peranan penting dalam membangunkan industri baharu Sarawak.
Menurut beliau lagi, memiliki lembaga pelabuhan berpusat akan menyelaras dan menyatukan pengurusan, operasi, perancangan dan pembangunan semua pelabuhan di negeri ini sebagai pelan induk pembangunan dagangan dan ekonomi lebih besar.
Penyatuan pelabuhan itu hendaklah merangkumi usaha meningkatkan kesalinghubungan ke pelabuhan dan jalan raya utama sebagai sebahagian daripada hubungan pengangkutan darat, katanya.
Dengan memiliki rangkaian kesalinghubungan dari laut ke pelabuhan, beliau berkata, ia akan meningkatkan kapasiti pengangkutan di negeri ini dengan negara jiran Brunei dan Indonesia.
Ini, tambahnya, akan meletakkan Sarawak sebagai pusat dagangan pengangkutan dengan beberapa pelabuhan lain untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi bukan hanya di wilayah ini tetapi juga di kepulauan Borneo.
Beliau berkata, Rang Undang-undang itu juga memperuntukkan untuk memberi lesen kepada sektor swasta yang ternama dalam industri berkenaan bagi mengurus mana-mana atau semua pelabuhan terbabit.
Hakikatnya kebanyakan pelabuhan utama di dunia diurus oleh sektor swasta yang berkebolehan menguruskan perniagaan pelabuhan, tegas Ibrahim.
