KUCHING: Jalan baharu di Matang dijangka siap lebih awal daripada jadual iaitu pada Ogos depan.
Perkara ini diumumkan semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Beliau meninjau perkembangan projek jalan sejauh 4.7 kilometer (km) bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Jelasnya, pihak kontraktor yang bertanggungjawab haruslah memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan terjamin dengan meletakkan papan tanda yang jelas bagi memudahkan pergerakan.
“Saya telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor untuk mempercepatkan pembinaan jalan ini,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, kehadiran wakil masyarakat memberi peluang kepada Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak untuk mendapatkan maklum balas daripada komuniti.
Jelas beliau, dengan kerjasama positif ini, pembinaan jalan baharu di Matang diharap dapat memperbaiki infrastruktur pengangkutan di kawasan tersebut serta meningkatkan kualiti hidup penduduk.
