Jambatan ikonik Bintulu-Jepak kini dibuka, nama rasmi akan diumum Premier Julai depan

BINTULU: Jambatan Bintulu Jepak kini dibuka kepada orang awam, membuktikan kesungguhan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membawa pembangunan berterusan kepada rakyat khususnya di luar bandar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata projek tersebut bukti komitmen berterusan kerajaan memacu ekonomi rakyat dan negeri ini.

Jambatan ikonik yang merentangi Sungai Kemena itu dibina dengan kos keseluruhan RM466.7 juta merangkumi pembinaan jambatan dua laluan empat lorong sepanjang 1.2 kilometer (km) menampilkan sistem jambatan kabel sepanjang 494.2 meter (m) dengan jarak utama 267.6 m.

Projek mega ini menghubungkan Bintulu dan Jepak, selain sebagai pemacu utama pembangunan wilayah dengan mengurangkan jarak perjalanan dari Lapangan Terbang Bintulu ke pusat bandar daripada 22 kilometer kepada hanya 6.4 kilometer (km).

“Jambatan ini menjadi ikon baharu Bintulu selain memudahkan kegiatan ekonomi penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada simbolik perasmian pembukaan awal Jambatan Bintulu-Jepak, di sini, hari ini.

Dengan pembukaan simbolik itu, Uggah sekali gus menepis tuduhan pembangkang yang mendakwa Kerajaan GPS gagal membangunkan infrastruktur negeri.

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa projek-projek yang dilaksanakan bukan sekadar janji manis tetapi realiti.

Katanya, kejayaan projek 16 jambatan di bawah jalan pantai dan Jalan Utama Kedua membabitkan kos keseluruhan RM11 bilion membuktikan kesungguhan kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Sementara itu, Uggah menjelaskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menamakan jambatan tersebut secara rasmi pada Julai depan.

“Belum lagi, nanti Premier akan umumkan,” katanya ketika ditanya nama rasmi jambatan tersebut.

Hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan,Datuk Aidel Lariwoo,
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Dr. Cassidy Morris dan tetamu kenamaan lain.