KOTA SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengagihkan geran sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarawak.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pengagihan tersebut belum ditetapkan tarikhnya namun dalam masa terdekat.
Katanya, sebelum itu permohonan geran perlu dilakukan melalui Kerajaan Negeri kemudian dihantar ke KKDW.
“Seramai 5,976 JKKK di Sarawak bakal menerima geran tersebut,” katanya selepas menyempurnakan Program Santai Media di Cafe-Cafe, The Original Carwash, di sini, hari ini.
Rupiah berkata, KKDW sehubungan itu akan memastikan status JKKK di semua negeri termasuk Sarawak masih aktif.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga mensasarkan seramai 10,000 pengunjung setiap hari pada program Mini KUD @ Kota Samarahan, Sarawak di sini mulai 1 sehingga 4 Februari depan.
Program ini akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi pada 2 Februari depan dan akan turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
