Kaji semula bantuan kewangan untuk penerbit buku tempatan

KUCHING: Yayasan Sarawak disaran mengkaji semula bantuan kewangan yang diberikan kepada penerbit buku tempatan.

Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli berkata, saranan tersebut dinyatakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai usaha merancakkan lagi industri penerbitan buku di wilayah ini.

Katanya, adalah penting untuk menyediakan sokongan kewangan yang lebih besar supaya lebih banyak buku yang berkualiti dapat diterbitkan.

Jelasnya, program bantuan sedia ada hanya terhad kepada lebih kurang RM20,000 untuk setiap penerbitan.

“Bagaimanapun, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menasihati pihak kita untuk membawa perkara ini kepada Lembaga Amanah Yayasan dan meneliti semula jumlah bantuan yang perlu diberi kepada penerbit-penerbit buku di Sarawak memandangkan kos penerbitan pada masa ini meningkat dengan ketara dan jumlah RM20,000 itu mungkin belum mencukupi,” katanya selepas melakukan perjumpaan bersama Tun Dr Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak, hari ini.

Menurut Mersal, beliau akan membawa usul berkenaan kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Amanah Yayasan Sarawak bagi menilai semula kuota yang lebih munasabah diberikan selaras dengan keperluan semasa industri penerbitan buku di Sarawak.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak (Pendidikan), Watson Chunggat Leonard Doo.