KUCHING: Dua syarikat tenaga dari China, Shanghai Electric Malaysia dan China Three Gorges International Limited berminat untuk melabur dalam pembangunan sumber tenaga hijau di Sarawak.
Pengarah Shanghai Electric Malaysia, Zhang Xiaohui berkata, syarikatnya dan China Three Gorges International Limited mula bertapak di Sarawak sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, pengalaman dan kejayaan dalam bekerjasama dengan syarikat di Sarawak telah memberi keyakinan untuk mereka melabur lebih lagi.
“Pada ketika ini, kami percaya kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, negeri ini akan menjadi hab tenaga hijau jadi kami ingin melanjutkan sokongan.
“Jadi kami dari China Three Gorges dan Shanghai Electric mahu mengambil bahagian dalam pembangunan tenaga hijau ini dan kami merancang untuk melabur lebih US$10 bilion di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Terdahulu, Abang Johari turut menerima kunjungan hormat daripada Mubadala Energy yang diketuai Presidennya, Nr Khalfan Al Mansoori dan Ketua Perhubungan Luar & Komunikasi Mubadala Energy, Varian Ignatius.
Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Presiden Shanghai Electric Power T&D (M) Sdn. Bhd, Shao Jian Ming, Naib Presiden Shanghai Electric Power T&D (M) Sdn. Bhd, Yang Xing Hai, dan Pengerusi Shanghai Electric Malaysia, Chen Ping.
