Projek bangunan baharu SMK Sebuyau bermula dalam masa terdekat

KUCHING: Pembinaan bangunan baharu SMK Sebuyau dijangka bermula pada masa terdekat susulan proses tender akan dimulakan seawal bulan hadapan.

Demikian kata Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Datuk Azhar Ahmad ketika diminta mengulas mengenai beberapa khemah didirikan di sekolah itu berikutan banyak bangunan dan dewan sekolah uzur dan tidak boleh digunakan lagi.

“Projek pembinaan bangunan baharu SMK Sebuyau telah diluluskan termasuk lokasi baharu dan akan dimulakan tidak lama lagi,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 di Auditorium Pejabat Pendidikan Sarawak, di sini hari ini.

Sebelum ini, warga SMK Sebuyau terpaksa menggunakan kanopi pasang siap bagi menjalankan pelbagai aktiviti memandangkan banyak bangunan dan dewan sekolah uzur dan tidak boleh digunakan lagi.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kanopi ini diperlukan oleh sekolah untuk menempatkan guru dan pelajar menjalankan pelbagai aktiviti memandangkan banyak bangunan dan dewan sekolah tidak boleh digunakan lagi.