Kemukakan cadangan realistik perkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris

BINTULU: Semua guru di seluruh negeri ini digesa segera menghantar kertas cadangan yang praktikal, menyeluruh dan realistik untuk dipertimbangkan sebagai dasar negeri.

Langkah itu sebagai usaha memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee, berkata sudah tiba masanya semua pihak bergerak ke hadapan dengan pelaksanaan tindakan konkrit dan tidak lagi terperangkap dalam perdebatan mengenai kepentingan bahasa Inggeris.

“Kertas kerja yang menyeluruh dan praktikal bagi memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pelajar amat penting

“Kita perlu memastikan pelajar kita benar-benar menguasai bahasa Inggeris,” katanya merasmikan Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak (SELES) 2025 di sebuah hotel di sini hari ini.

Dr. Annuar menegaskan dasar pendidikan yang berkesan perlu dibangunkan berdasarkan maklum balas akar umbi, bukannya berdasarkan arahan dari peringkat atasan yang tidak selari dengan realiti di sekolah.

“Kalau dalam bidang sains, kita boleh gerakkan idea guru untuk mewujudkan makmal dan pusat sains, saya yakin pendekatan yang sama boleh kita terapkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris sebagai satu legasi Sarawak,” katanya.

Seramai 200 guru bahasa Inggeris dari Zon Utara Sarawak mewakili lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) iaitu Bintulu, Belaga, Tatau, Sebauh, Miri, Subis, Baram dan Limbang menyertai simposium tiga hari itu.