Kerajaan Sarawak, ENEOS tingkat kerjasama pembangunan hidrogen

YOKOHAMA: Kerajaan Sarawak bersama ENEOS Corporation (ENEOS) di Japun terus meningkatkan kerjasama dalam pembangunan bersama rangkaian pengeluaran hidrogen bersih yang kompetitif.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan dalam rantaian bekalan hidrogen ‘methylcyclohexane’ (MCH) ini dijangka dapat menurunkan kos pengeluaran hidrogen.

Menerusi projek Hornbill yang dijalankan antara Sarawak dan Jepun katanya, hidrogen akan ditukarkan dari bentuk gas asal kepada cecair bagi membolehkan penghantaran dilakukan dalam jumlah lebih besar ke negara berkenaan.

“Sekarang, kita ada satu projek Hornbill di antara Jepun dengan Sarawak. Jadi proses pengeluaran hidrogen di Sarawak akan mengeluarkan MCH.

“MCH ini akan dibawa terus ke negara Jepun untuk kegunaan industri di Jepun. Ia mungkin dapat menurunkan kos pengeluaran hidrogen dan ini sudah tentu dapat memberikan manfaat kepada kita sebagai pengeluar hidrogen dan pasaran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UKAS dan TVS selepas mengadakan lawatan kerja ke ENEOS Central Technical Research Laboratory di Yokohama, Jepun pagi tadi.

Mengiringi beliau ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.

Tambah Premier Sarawak, menerusi pengembangan inovasi teknologi itu, ia sekaligus meningkatkan pengeluaran MCH dalam skala besar.

Menurutnya, dengan teknologi baharu itu membolehkan Sarawak memfokuskan kepada proses pengeluaran hidrogen, menerusi MCH dan terus ke loji .

“Pada mulanya, kita telah mengunjurkan untuk menghasilkan 240,000 tan hidrogen menjelang 2028 hingga 2029. Sebenarnya, Jepun mempunyai dua kajian, satunya di Australia, Brisbane, tetapi ia menggunakan solar dan di Sarawak pula mereka menggunakan kuasa hidro untuk menghasilkan hidrogen.

“Mula-mula kita hendak mengeluarkan hidrogen dan diproseskan di Jepun, tetapi sekarang ada teknologi MCH, kita proseskan terus di Sarawak,” katanya lagi.

ENEOS, sebagai sebuah syarikat yang membekalkan 20 peratus daripada tenaga utama Jepun, berhasrat menjadikan tenaga generasi seterusnya seperti hidrogen, bahan api sintetik, dan biofuel sebagai ‘norma masa depan’ bagi mencapai masyarakat neutral karbon.

Ia menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan teknologi digital untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil, merealisasikan masyarakat neutral karbon dan mencipta bahan inovatif baharu.