Kerajaan Sarawak peruntukkan RM2.5 juta inisiatif pendidikan awal kanak-kanak

KUCHING: Sarawak mencapai sebanyak 98.8 peratus kanak-kanak tahun satu di sekolah rendah telah mengikuti pendidikan awal pada tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini melalui tiga fokus utama dalam agenda pembangunan awal kanak-kanak Sarawak iaitu akses, ekuiti dan kualiti.

“Kita berbangga kerana hasil kerjasama dan kolaborasi semua pihak, pada tahun 2024, Sarawak telah mencapai 98.8 peratus kanak-kanak tahun satu yang mengikuti pendidikan awal kanak-kanak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPKAS), di sini, hari ini.

Fatimah berkata, bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa berpendapatan isi rumah RM7,000 ke bawah, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta untuk melaksanakan inisiatif Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Katanya, inisiatif terbabit dengan kadar maksimum RM1,000 setahun bermula pada 2023 bagi membantu kanak-kanak yang tercicir menerima Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak Taska dan Bantuan Yuran Tadika yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Usaha ini juga untuk memastikan anak-anak dihantar ke Taska, Tadika berdaftar agar keselamatan dan kebajikan mereka terjamin, seterusnya menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja bagi membantu meningkatkan ekonomi keluarga,” tambahnya.

Menurut Fatimah pada 2023, seramai 2,634 kanak-kanak tadika dan taska swasta telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini, manakala seramai 3,175 kanak-kanak mendapat manfaat pada 2024 dan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 5,809 kanak-kanak.