KUCHING: Sarawak mempunyai peratusan tertinggi dalam kurangnya akses bagi mendapatkan produk pengurusan haid iaitu 15.2 peratus, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.
Beliau berkata, isu akses kepada produk haid dan juga stigma haid semestinya tidak mempunyai tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Hasil laporan Kajian Status Pengurusan dalam kalangan pelajar perempuan di sekolah menengah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati 9.9 peratus mempunyai masalah untuk mendapatkan produk pengurusan haid, katanya ketika melancarkan Program Kasih Remaja Kotek #SheCan Project d sini.
Beliau menegaskan, kementeriannya akan memperkasakan 600,000 anak gadis Malaysia dengan akses kepada alat kebersihan haid yang sesuai dan juga dengan pendidikan tentang kesihatan reproduktif.
“Ini bukan hanya soal sanitasi tetapi tentang maruah, keyakinan dan potensi penuh mereka,” katanya dan menambah akan turut mengambil inisiatif untuk memperkasakan pelajar lelaki dengan pengetahuan dan kesedaran tentang isu haid.
Menurut beliau, ini adalah langkah penting dalam membentuk generasi yang lebih berempati dan memahami dan menambah, ini bukan sahaja isu wanita, tetapi isu yang memerlukan kesedaran dan pemahaman dari semua, tanpa mengira jantina.
Melalui Program KASIH Remaja: Sihat dan Selamat, beliau berkata, kementeriannya juga mengendalikan pelbagai program pendidikan termasuk anti gangguan seksual dan hak kanak-kanak.
Beliau mengajak rakyat bersama-sama meningkatkan kesedaran, pecahkan halangan dan membina masyarakat dengan harapan haid tidak lagi menjadi halangan kepada kejayaan wanita.
