SIBU: Penganjuran Anugerah Juara Lagu Melanau 2023 (AJLM) menjadi platfrom dalam mengetengah dan memartabatkan budaya kaum Melanau di mata dunia.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, tema AJLM iaitu ‘Muzik Telou, Jawai Telou,’ yang bermaksud ‘Muzik Kita Wajah Kita’ itu menggambarkan kepentingan muzik dalam budaya Melanau.
Justeru, beliau sangat menyokong usaha untuk mempromosikan lagu-lagu Melanau agar dapat dinikmati oleh semua etnik di Sarawak dan di seluruh negara.
Melalui AJLM katanya, lagu-lagu Melanau ini dapat memasuki industri hiburan tanah air dan diperdengarkan bukan sahaja kepada etnik Melanau malah kepada seluruh etnik di Sarawak.
“Saya amat menyokong usaha ini agar diteruskan lagi di masa hadapan.
“Penggemar-penggemar lagu Melanau, komposer dan pencipta harus memainkan peranan penting bagi memastikan lagu Melanau ini diminati oleh semua etnik,” katanya selepas berakhir AJLM di Dewan Kompleks Islam Sibu, baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, penganjuran AJLM dapat mengiktiraf bakat-bakat artis dan komposer Melanau.
Katanya, ia julung kalinya Persatuan Pengkarya Pemuzik Anak Melanau (PAMM) menganjurkan AJLM ini untuk mengiktiraf artis dan komposer lagu-lagu Melanau.
“Melalui pengiktirafan ini, kita dapat menghargai pelbagai kaedah dan cara untuk mempertahankan kebudayaan dan warisan kaum Melanau, termasuk melalui lagu-lagu mereka,” katanya.
Lagu kehidupan berjudul Erti Kehidupan (Reti Udipan) nyanyian Hariss Ajak dan karya oleh Affiq Iqwan telah dinobatkan sebagai juara dan vokalis terbaik.
Ia membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM7,000 serta RM1,500 untuk Vokal Terbaik, disertai dengan sebuah trofi dan sijil penghargaan.
Fify dan Feeqah dengan lagunya ‘Memori’ menduduki tempat kedua, meraih persembahan terbaik dengan hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dan RM1,500 untuk kategori persembahan terbaik serta menerima sebuah trofi dan sijil.
Manakala Salwa dengan lagu ‘Penah Tersengad,’ meraih tempat ketiga untuk menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000, serta sebuah trofi dan sijil.
