LAWAS: Persatuan Pacuan Empat Roda Lawas akan bekerjasama dengan berbagai persatuan yang terlibat dalam sukan lasak untuk mempromosikan Lawas sebagai salah satu destinasi sukan lasak di Utara Sarawak.
Exco Saberkas Negeri Sarawak, Steve Lim berkata, dengan keadaan geograpinya yang berbukit bakau, daerah Lawas berpotensi besar dijadikan venue sukan lasak seperti acara Cabaran 4×4 KBS.
Sukan lasak itu merangkumi acara cabaran berakit di Batang Trusan dan lainnya, mempunyai peminatnya yang tersendiri, katanya ketika ditemui pada majlis penutupan acara Cabaran 4×4 KBS 2024 Lawas di Pengalih dekat sini mewakili Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agung.
Menurut Steve Lim, acara sukan lasak itu berjaya menarik peminat khususnya dari Sabah, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
Beliau berkata, acara Cabaran 4×4 KBS 2024 itu disertai oleh 35 pasukan pacuan empat roda dan penyertaan dihadkan kerana faktor masa.
Daripada maklum balas Persatuan Pacuan Empat Roda Lawas memang banyak lagi yang ingin turut serta khususnya dari negara Brunei dan rakan di Kalimantan, Indonesia untuk turut serta, katanya dan menambah, acara sukan lasak itu boleh dijadikan jambatan mengeratkan hubungan semua peminat sukan lasak.
Steve yang juga Exco Pergerakan Pemuda Parti PBB Sarawak berharap agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dan KBS Sarawak dapat terus menyokong acara sukan lasak dan sukan lain di daerah Lawas.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara Abdul Aziz Abdul Rahman, Presiden Persatuan Empat Roda Malaysia Mohd Khairol Nizam Mohd Ibrahim Khan, Pengerusi Persatuan Pacuan Empat Roda Lawas Samuel Ganang dan Pengerusi Saberkas Cawangan Bakelalan John Tua.
