KUCHING: Kumpulan Maybank terus komited terhadap usaha pembangunan Sarawak dengan menyumbang zakat berjumlah RM3.5 juta hari ini.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Dato’ Khairussaleh Ramli berkata, sumbangan itu bagi menyokong inisiatif pembangunan dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan di negeri ini.
Katanya, sumbangan tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM2.2 juta yang disumbangkan tahun lalu.
“Maybank sangat aktif di Sarawak melalui pelbagai aktiviti perniagaan kami. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menggariskan hala tuju negeri dari segi kelestarian, tenaga bersih, logistik, dan banyak lagi.
“Dan dengan itu, kami juga mengukuhkan komitmen kami untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dan syarikat-syarikat di negeri ini bagi memajukan lagi ekonomi di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Sementara itu, Khairussaleh berkata, Maybank mengendalikan 32 cawangan di seluruh Sarawak, termasuk pusat auto dan kemudahan perbankan perniagaan dengan tenaga kerja lebih 900 pekerja berdedikasi.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Presiden Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank Syed Ahmad Taufik Albar, Ketua Pegawai Operasi Maybank Investment Bank Berhad Tengku Ariff Azhar Tengku Mohamed, Pengarah Wilayah Sarawak Abang Jamili Abang Julai, dan Ketua Strategi dan Penyelesaian ESG untuk Perbankan Global Kumpulan Ranita Abdullah.
