KUCHING: Aplikasi Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dilancarkan pada hari ini bagi memeriahkan penganjuran temasya dwitahunan itu.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Sarawak negeri pertama membangunkan aplikasi khas untuk digunakan semasa SUKMA.
Katanya, aplikasi tersebut akan memudahkan peminat-peminat sukan tanah air termasuk atlet, jurulatih dan pegawai berkaitan mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan SUKMA Ke-21 dijadual bermula 17 Ogos ini.
”Pembangunan aplikasi ini selaras dengan hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memperkasakan perkhidmatan wilayah ini melalui Ekonomi Digital.
“Aplikasi ini akan dilengkapi dengan pelbagai menu seperti jadual serta keputusan pertandingan, kedudukan dan pungutan pingat terkini.
“Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan berita terkini dan menonton siaran langsung menerusi pautan Televisyen Sarawak (TVS),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pelancaran aplikasi SUKMA XXI di Bangunan Baitulmakmur II hari ini.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick, Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datu Felicia Tan Ya Hua dan Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng.
Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi ini melalui platform Apple Store, Play Store dan AppGallery di telefon pintar dan peranti elektronik masing-masing bermula hari ini.
Dalam majlis sama, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak turut melancarkan Command Centre SUKMA XXI Sarawak 2024 yang akan beroperasi mulai 9 Ogos hingga 28 September.
Katanya, pusat operasi itu dapat memantau pertandingan secara langsung dan kedudukan semasa pungutan pingat.
“Pada masa sama, ia juga dapat memantau melalui Sistem Pengurusan Acara segala maklumat logistik termasuk pengagihan penginapan, pengangkutan, sajian dan sukarelawan serta petugas,” ujar beliau lagi.
