LUNDU: Seramai 198 pesakit dibantu dengan jumlah perbelanjaan sebanyak lebih RM9.3 juta di bawah inisiatif Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) Kerajaan Sarawak sejak 1 Januari, 2020 hingga 31 Januari 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pada 2023 pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak membeli 24 buah mesin haemodialisis secara tender bernilai RM987,600.00 untuk diagihkan di 24 hospital dan klinik kesihatan di negeri ini.
Penambahan mesin haemodialisis di pusat kesihatan kerajaan adalah mengambil kira keperluan penggunaan mesin, katanya pada majlis penyerahan dua mesin haemodialisis kepada Hospital Lundu di sini.
Beliau diwakili Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus.
BKPBP merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu meringankan beban pesakit yang memerlukan rawatan untuk penyakit buah pinggang.
Bagi bantuan klinikal, beliau berkata, had bantuan ialah RM3,000 untuk pemasangan AVF, RM240 sebulan (suntikan EPO) dan RM2,800 sebulan (rawatan CAPD).
Manakala untuk bantuan sokongan (pengangkutan) adalah RM700 sebulan dan bantuan transplan RM5,000, katanya dan menegaskan, kriteria kelayakan penerima tiada had umur, orang Sarawak, bukan penjawat awam, pesara awam dan pencarum PERKESO.
Unit Haemodialisis Hospital Lundu mula beroperasi pada Ogos 2006 dengan 4 orang pesakit dan setakat ini seramai 130 pesakit mendapat rawatan di unit terbabit.
