KUCHING: Persaudaraan Masjid, Bintangor dan Haji Taha Kuching (MBHT) diyakini mampu memperkasakan lima teras utama dalam usaha mengukuhkan pentadbiran serta peranannya sebagai organisasi komuniti yang relevan dan berdaya saing.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, lima teras tersebut merangkumi budaya, agama, pendidikan, kebajikan dan riadah.
Menurutnya, MBHT bukan sahaja memainkan peranan memelihara warisan dan nilai-nilai murni masyarakat Melayu bandar, malah pemangkin kepada penglibatan generasi muda dalam bidang strategik selari agenda pembangunan negeri.
“MBHT boleh memainkan peranan besar kerana kita berada di pusat bandar yang mempunyai pelbagai kemudahan pendidikan seperti universiti yang mempunyai ramai pakar dan pusat latihan.
“Sehubungan itu, kita perlu berganding bahu untuk melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran, agar dapat meneruskan perjuangan membangunkan negeri dan negara.
“Saya berpendapat MBHT boleh memainkan peranan untuk bersama-sama mengenal pasti mereka yang tercicir dengan segala bantuan yang disedia kerajaan,” katanya.
Beliau katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri MBHT 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Fadillah menjelaskan, Sarawak kini mendahului dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan biogas, hasil dasar berani Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk MBHT sebagai sokongan memperkasa usaha dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan kebajikan komuniti selain menjalankan aktiviti.
Turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Yang Dipertua MBHT, Mohamad Taufik Abdul Ghani.
