Sarawak guna pendekatan ‘menang-menang’ selesaikan isu dengan Petronas

LONDON: Kerajaan Sarawak sedia kembali ke meja rundingan dan menggunakan pendekatan ‘menang-menang’ bagi menyelesaikan kemelut melibatkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam industri minyak dan gas.

Perkara itu didedahkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam (waktu tempatan) bagi mencari solusi yang harmoni dan adil membabitkan kedua-dua pihak.

“Kita akan menyelesaikan perkara ini. Malah, Perdana Menteri telah menghubungi saya pagi tadi (Sabtu waktu London) dan kami mencapai komitmen bersama untuk menyelesaikannya.

“Ia merupakan satu pendekatan menang-menang antara pihak kita dan juga Petronas. Penyelesaian ini akan diasaskan kepada keikhlasan bahawa hasil minyak dan gas negara perlu dikongsi secara adil, dan kita telah melaksanakan tanggungjawab kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Sarawak Agenda Townhall sempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2025, United Kingdom (UK) Edition semalam.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman bertindak selaku moderator sesi town hall itu.

Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak memberitahu, fokus utama kerajaan negeri pada masa ini ialah memperkukuh asas ekonomi Sarawak khususnya disokong dengan penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak dengan penyediaan simpanan sebanyak RM8 bilion.

Jelas beliau, apabila ekonomi Sarawak mencapai tahap kestabilan yang kukuh, hasil daripada pertumbuhan tersebut akan dapat disalurkan kepada rakyat melalui pendekatan pembangunan ekonomi yang tersusun dan menyeluruh merangkumi semua sektor.

“Apa yang sedang kita usahakan kini ialah memperkukuh asas ekonomi negeri.

“Setelah ekonomi kita benar-benar kukuh, maka hasilnya akan dapat disalurkan kepada rakyat melalui pendekatan ekonomi yang tersusun dalam semua bidang,” katanya.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Kira-kira 230 orang pelajar Sarawak di United Kingdom, Jerman dan Perancis telah menyertai program berkenaan.