Majlis Rumah Terbuka Gawai ketengahkan keunikan budaya, perpaduan rakyat Sarawak

KUCHING: Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai platform terbaik untuk meraikan dan mengetengahkan keunikan budaya komuniti Dayak di seluruh Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata, sambutan ini mengukuhkan lagi perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan budaya di negeri ini.

“Majlis seperti ini memberi ruang untuk kita mempersembahkan budaya, tradisi serta amalan masyarakat Dayak.

“Ia juga menjadi peluang penting untuk merapatkan hubungan dan menyatukan semua kaum di Sarawak,” katanya ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2025 di sini, hari ini.

Tambah beliau, kehadiran pemimpin tertinggi Sarawak serta rakyat pelbagai lapisan kaum mencerminkan semangat muhibah dan perpaduan yang menjadi identiti Sarawak.

“Inilah gambaran sebenar Sarawak dan kami sangat berbangga kerana dapat menjadi tuan rumah hari ini untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa kita mempunyai keharmonian kaum yang sangat kukuh. Kita juga mempunyai budaya yang boleh menyumbang kepada kepelbagaian masyarakat dalam Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan barisan pemimpin negeri ‘bergulai’ bersama kira-kira 5,000 pengunjung.

TYT turut berkenan mengetuai ‘Gawai Toast’ sebagai simbolik perasmian Majlis Terbuka Hari Gawai 2025.