SERIAN: Keunikan warisan etnik Bidayuh diperagakan dalam Perarakan Gawai Dayak (Taee Gawai Parade) di Kampung Taee sempena sambutan Gawai Dayak hari ini.
Acara ikonik tahunan berlangsung dengan penuh warna-warni serta adat dan budaya ini menarik kehadiran ratusan pengunjung, termasuk pelancong asing yang terpesona dengan keunikan warisan etnik Bidayuh.
Pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian tradisional, pakaian etnik, serta perarakan menyerikan lagi sambutan yang bermula sejak jam 1 tengah hari tadi.
Majlis diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada yang menyatakan penghargaan terhadap usaha komuniti Bidayuh dalam memelihara budaya warisan.
“Gawai Dayak bukan sekadar perayaan menuai hasil, tetapi simbol perpaduan dan identiti masyarakat Dayak, khususnya Bidayuh di Serian,” katanya.
Menurut beliau, perarakan ini bukan sahaja menjadi platform untuk generasi muda mengenali akar budaya mereka, malah sebagai tarikan pelancongan yang mampu memperkenalkan Sarawak ke persada antarabangsa.
Jelasnya, kehadiran pelancong asing yang kagum dengan keindahan seni dan budaya tempatan membuktikan potensi besar acara ini sebagai aset pelancongan budaya. — UKAS
