Misi Sukarelawan UNIMAS Pasca Banjir di Bintulu

BINTULU: Seramai 20 mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melaksanakan Misi Sukarelawan UNIMAS Pasca Banjir, di sini, hari ini.

Mereka menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas akibat banjir termasuk Blok Kolej Kediaman Sri Rajang, empat kediaman di Kuarters Pejabat Daerah Sebauh serta beberapa pejabat dan kemudahan sukan.

Sukarelawan turut mengagihkan bantuan Bakul Ihsan Madani KPT-UNIMAS kepada penduduk yang terkesan termasuk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Sebauh.

Misi sukarelawan ini merupakan inisiatif bersama Majlis Kesukarelawanan Universiti Awam (MASKUM) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS, Kor SISPA UNIMAS, serta Kelab Sukarelawan Mahasiswa UNIMAS.

Ia mencerminkan keprihatinan UNIMAS dalam membantu komuniti setempat serta menanamkan nilai-nilai kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Ketua Program, Aileen Anne Jinggong, yang juga Penolong Pendaftar UNIMAS dan Pegawai MASKUM UNIMAS berkata, pihaknya berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan beban mangsa banjir.