KUCHING: Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman merasmikan Taklimat Pendaftaran Sarawak ID dan Permohonan Penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) di Pustaka Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Taklimat anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersama Pusat Khidmat di seluruh Sarawak bagi mengendalikan proses pendaftaran Sarawak ID dan permohonan SKAS.
Taklimat tersebut dikendalikan Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) bersama Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) dan SPay Global.
Sesi taklimat ini penting bagi memberi maklumat yang tepat kepada petugas di Pusat Khidmat Zon Selatan Sarawak berhubung cara pendaftaran Sarawak ID dan permohonan penerima SKAS agar dapat membantu penduduk dalam membuat permohonan tersebut.
Hadir sama Pengerusi Pustaka Negeri Sarawak, Datuk Dr. Abang Abdul Rauf Abang Zen, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Taklimat yang sama turut diadakan di Zon Utara dan Zon Timur sebelum berakhir di Zon Selatan Sarawak hari ini yang telah merangkumi 76 DUN dan 22 Parlimen secara keseluruhan.
Pendaftaran SKAS kini masih lagi dibuka sehingga 31 Mac 2025 dan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 18 Februari 2025 di Serian. — UKAS
