MUT jamin bekalan elektrik, air stabil

KUCHING: Bekalan elektrik dan air di negeri ini kekal stabil walaupun terjejas susulan banjir dan cuaca buruk melanda negeri ini sejak beberapa hari.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi memberi keyakinan itu kepada orang ramai sambil berkata agensi di bawah kementeriannya seperti Sarawak Energy Berhad (SEB), Agensi Bekalan Air, SKMM, SDEC dan penyedia telekomunikasi lain telah mengerahkan pasukan teknikal ke kawasan banjir.

Katanya, agensi-agensi ini sedang menyelaras dan memantau rapi, bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam usaha pemulihan.

“Kami mohon kerjasama daripada orang ramai pada masa yang mencabar ini dan kami akan terus memberikan maklumat terkini apabila keadaan berkembang.

“Kami juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.”

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan MUT pada Jumaat.

Julaihi menegaskan MUT serta agensinya sentiasa bersiap-siaga untuk mengurus dan memulihkan perkhidmatan utiliti dan telekomunikasi di seluruh negeri yang terganggu akibat fenomena banjir dan cuaca buruk ini.

Untuk bekalan elektrik, sejak beberapa hari lalu, pasukan teknikal SEB terpaksa menutup pencawang di kawasan yang paling teruk terjejas bagi memastikan keselamatan orang ramai daripada bahaya elektrik akibat peningkatan air banjir di kawasan seperti di Miri dan Bintulu (Wilayah Utara), Sibu, Selangau, Kapit, Mukah dan Sarikei (Wilayah Tengah) dan di Kuching, Samarahan dan Serian (Wilayah Selatan).

Jelasnya, hujan lebat turut menyebabkan beberapa loji rawatan air ditutup sementara ekoran peningkatan paras air yang berlebihan dialur masuk menjejaskan loji rawatan air Selangau, Ng. Sekuau dan Labang.

Selain itu katanya, gangguan perkhidmatan telekomunikasi turut berlaku di Bintulu, Marudi, Miri, Mukah, Selangau dan Serian.

“Walaupun dalam keadaan yang mencabar, loji penjanaan elektrik dan loji rawatan air lain terus beroperasi memastikan kecukupan utiliti ini untuk memenuhi permintaan,” jelas Julaihi.