KUCHING: Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) disaran meneruskan momentum prestasi membangunkan projek pembangunan di wilayahnya ke fasa dua.
Ini bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan baik.
Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata,
penyediaan kemudahan sukan sebagai contoh perlu diperkasa bagi mengangkat potensi Limbang sebagai destinasi sukan kompetitif dan memenuhi piawaian.
Beliau berkata demikian dalam mesyuarat di pejabatnya di Limbang bagi mendapatkan perkembangan terkini pelaksanaan projek di bahagian itu.
Taklimat disampaikan Pengarah Wilayah NRDA Datu Ubaidillah Abdul Latip. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau yang juga ahli Lembaga Pengarah NRDA Dato Paulus Palu Gumbang serta wakil-wakil agensi-agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Limbang.
Projek-projek yang dibincang termasuk jalan raya yang menghubungkan kawasan luar bandar, bekalan air, kemudahan rekreasi daerah dan projek peningkatan dan pembaikan sekolah.
Senarai projek yang sedang dijalankan oleh NRDA berada di pelbagai tahap penyelesaian antaranya projek Jalan Kampung Pendam ke Kampung Ipai (15km), jalan Bukit Lubok ke Kampung Seberang Kedai Limbang (3.7km) dan Jalan Rangau ke Kuala Limbang (3.2km).
Projek lain ialah Projek Bekalan Air Limbang (Bawang Ubor ke Rumah Jubang), Projek Anjung Usahawan Kampung Pahlawan,Projek Tebingan Sungai Pekan Medamit, Projek Kemudahan Rekreasi Limbang dan Peningkatan dan pembaikan kemudahan sekolah (selesai).
NRDA adalah agensi pembangunan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
