Pampasan tanah dibayar berdasar penilaian JTS

SARATOK: Seramai 20 pemilik tanah menerima pampasan keseluruhan bernilai RM5 juta pada satu majlis di dewan Pejabat Daerah Saratok di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka, Mohamad Duri menyempurnakan majlis penyerahan cek bagi pengambilan tanah itu untuk projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Roban Fasa Kedua kepada penerima.

Berucap pada majlis itu, Mohamad Duri berkata, SPK Roban itu diluluskan oleh Kerajaan Sarawak pada Jun 2023 lalu melibatkan seluas 70.95 hektar tanah di kawasan Sabit, Roban dan notis berkanun Seksyen 48 dan Seksyen 5 (3)&(4) Kanun Tanah Sarawak telahpun diluluskan pada September lalu bagi tujuan pengambilan balik tanah berkenaan.

“Kerajaan perlu mengambil balik tanah sama ada ia melibatkan tanah berhak milik atau tertakluk tuntutan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur yang manfaatkan rakyat,” katanya.

Mohamad Duri berkata, semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS).

“Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa,” katanya.

Beliau berkata, ini membuktikan kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg prihatin dalam memajukan kawasan luar bandar di negeri ini.

Turut hadir Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abu Nawas; Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nyaup dan Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid.