35,424 calon duduki peperiksaan SPM 2024

KUCHING: Sekolah di Sarawak bersedia untuk menghadapi bencana banjir semasa berlangsungnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula dari 2 Januari hingga 6 Februari ini.

Jaminan itu dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Omar Mahli sambil berkata, lembaga peperiksaan di seluruh negara telah menyediakan langkah-langkah sewajarnya untuk sekolah yang terjejas akibat fenomena itu nanti.

“Jika mana-mana sekolah yang terjejas, kita ada pusat-pusat lain yang boleh kita pindahkan calon untuk menduduki peperiksaan dan kita memastikan semua calon akan menduduki peperiksaan SPM,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor di sini pagi tadi.

Menurutnya, pada masa ini sekolah di Sarawak hanya di tahap berisiko banjir yang mana berdasarkan statistik, terdapat hanya enam sekolah menengah yang berisiko banjir di seluruh negeri.

“Kebanyakan sekolah menengah di Sarawak tidak begitu terjejas dengan banjir, cuma jalan terputus akibat hujan lebat,” tambahnya lagi.

Seramai 35,424 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 di 255 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak.