KUCHING: Sarawak memerlukan lebih ramai doktor tempatan untuk memastikan keperluan kesihatan rakyat dapat dipenuhi dengan lebih baik pada masa hadapan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, ketika ini terdapat
4,600 doktor yang berkhidmat di seluruh negeri, namun kebanyakan daripada mereka bukan anak jati Sarawak.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 4,000 doktor bertugas di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala 600 lagi berkhidmat di sektor swasta.
Tegas beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, isu kekurangan doktor tempatan perlu diberi perhatian serius, terutama apabila majoriti doktor yang berkhidmat di negeri ini bukan berasal dari Sarawak.
“Walaupun jumlah doktor kecil, iaitu hanya 4,000 orang, majoritinya bukan anak Sarawak. Sebab itu kita mahu menangani isu ini,” ujarnya ketika merasmikan MMA Sarawak dan Pejabat SPMPS di sini hari ini.
Dari segi statistik terkini katanya, terdapat seramai 4,600 doktor di Sarawak dengan pecahan 4,000 orang doktor berada di bawah KKM, manakala 659 di sektor swasta.
Tambah beliau, doktor swasta ini bukan hanya di klinik tetapi juga di hospital swasta.
