Tahun Baharu: Tebingan Sungai Kuching bermandi cahaya

KUCHING : Lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan ambang tahun baharu 2025 di Tebingan Sungai Sarawak malam tadi.

Meskipun hujan namun orang ramai tidak berganjak untuk turut sama memeriahkan sambutan itu.

Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi. Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Acara dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) bersama Majlis Seni Sarawak (MSS) itu padat dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk gerai-gerai jualan yang menawarkan pelbagai barangan dan makanan tempatan.

Segmen rasmi dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Permata Seni MSS, diikuti tarian memukau oleh I-Cats Performing Arts, Youngstersz, dan Kinate Dance Group, yang mencuri perhatian dengan koreografi mantap dan kostum berwarna-warni.

Selain itu, persembahan nyanyian daripada artis terkenal turut mencuri tumpuan, termasuk persembahan memukau daripada Hetty Koes Endang, Zee Avi, Akim & The Majistret, serta artis-artis tempatan dan antarabangsa yang lain.

Kemuncak acara persembahan yg bunga api berirama yang menerangi langit malam, menandakan detik perpindahan tahun dengan penuh keindahan dan semangat baharu.

Turut hadir Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik serta dif-dif kenamaan yang lain.