Pelajar DLP Sarawak duduki peperiksaan Pentaksiran Standard mulai 2025

SIBU: Semua pelajar Program Dwi Bahasa (DLP) Sarawak di Tahun Enam mulai 2025 dan Tingkatan Tiga mulai 2028 akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Standard.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Permbangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, peperiksaan itu bagi melihat pencapaian mereka di seluruh Sarawak.

“Peperiksaan dikelolakan oleh Cambridge University Press & Assessment mempunyai kualiti di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jangkauan Luar Outreach MLNG Bestari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya, Sibu, hari ini.

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata dengan peperiksaan itu, pihaknya boleh melihat sekolah mana yang boleh dibantu susulan keputusan tidak baik.

Selain itu, pihaknya sedia berbincang jika terdapat sekolah bukan di bawah DLP seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah swasta yang mahu menduduki peperiksaan berkenaan.