Projek laluan berkembar bakal pacu pembangunan Jepak

BINTULU: Pembinaan laluan berkembar dari Jambatan Bintulu-Jepak hingga ke Lapangan Terbang Bintulu bakal memacu pembangunan di kawasan Jepak.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, projek tersebut telah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet Sarawak.

Menurutnya, ia merupakan perancangan rapi bagi membangunkan kawasan Jepak secara terancang.

“Kita akan sambungkan (rangkaian jalan) dari Jambatan Bintulu-Jepak ke Lapangan Terbang Bintulu, laluan berkembar menjadikan ia empat lorong.

“Jadi, Jepak bukan lagi sekadar kawasan perkampungan kerana inisiatif pembangunan termasuk perumahan turut dirancang,” katanya pada Majlis Tautan Kasih Gedong Permulaan Kami (GPK) Bintulu 2024 di sini, malam tadi.

Abang Johari menegaskan bahawa Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan pembinaan jambatan mega serentak.

Jelasnya, ia merupakan hasil ekonomi Sarawak yang kian meningkat hingga mampu menangkis tohmahan segelintir pihak terhadap usaha pembangunan tersebut.

“Tidak ada negeri lain yang dapat membina 16 jambatan secara serentak. Projek-projek jambatan ini termasuk di Batang Lupar, Batang Saribas, Batang Krian, Igan, Paloh dan Muara Lassa.

“Semua ini kita laksanakan secara serentak. Terdapat pihak yang persoal dari mana peruntukan didapati setelah dibatalkan oleh pihak persekutuan.

“Ini merupakan hasil ekonomi kita yang semakin meningkat,” katanya lagi.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, Penaung GPK Kuching Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengerusi GPK Bintulu Pengiran Dato (Dr) Ts. Daud Pengiran Putera, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu Dato Haidar Khan Asghar Khan.